'bukalah jendela hatimu'

installing iman....please wait

Friday, June 15, 2012

Kenangan Sang Murabbi...

Salam perjuangan dan kasih sayang buat saudara/i seislamku...

Saat mejelangnya maghrib 14 Jun 2012, hati ini bergetar dan berasa sayu dengan berita pemergian seorang Murabbi Tarbiyah di bumi Kelantan nun jauh di sana.Ikut kata hati, ingin saja kaki ini melangkah menuju ke bumi barakah Kelantan pimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz.Berita ini sangat meruntun hati ini menerima pemergian seorang mujahid, seorang muharik, seorang murabbi yang pastinya bukan saya seorang yang merasai perasaan begini bahkan seluruh ahli gerakan Islam yang mengenali beliau.

Melihat wajahnya sudah cukup menenangkan hati serta menghidupkan hati yang gersang dengan tarbiyah.Tutur bicaranya sarat dengan semangat perjuangan menggerakkan Islam, beliau sering mengingatkan tentang akhlak-akhlak sebagai ahli gerakan Islam.Walaupun badannya kelihatan uzur, namun semangat serta keseriusan beliau dalam bicara seolah-olah menafikan umur serta tubuh badan beliau yang sudah kelihatan uzur.Teringat Syeikh Ahmad Yassin yang hanya mampu bergerak dengan kerusi roda namun tutur katanya mampu menggerunkan musuh-musuh Allah.

Sejarah pendidikan dan perjuangan sang Murabi Tarbiyah : Ustaz Yahya Othman

"Beliau mendapatkan pendidikan di Timur Tengah dan pernah diasuh secara sistematis oleh Ikhwanul Muslimin.Beliau mewakafkan diri untuk perjuangan Islam semenjak zaman muda sehinggalah tubuhnya mula disengat penyakit namun masih tidak menguzurkan diri di medan amal Islami. Kertas kerja tarbiah Ustaz Yahya Othman sering kita lumati dalam program tarbiah, bahkan dada kita turut terisi dengan penyampaian beliau yang tegas. Beliau adalah anak didik kepada Sheikh Kamal Saniri, tokoh Ikhwanul Muslimin yang telah mengalami pemenjaraan dan akhirnya mati syahid akibat disiksa oleh regim thaghut Mesir. Jika menziarahi bumi Jordan, biasanya Dr Muhammad Said Hawwa (anak Sheikh Said Hawwa) akan menjemput beliau di lapangan terbang. Beliau mempunyai kenangan kolektif bersama Sheikh Said Hawwa dan tokoh-tokoh besar Ikhwan yang terbuang di merata tempat, termasuk akrab dengan Dr Kamal Helbawi dan Dr Mehdi Akif.

Ustaz Yahya mendapat pendidikan di Mekah, antara pelajar genius yang disayangi oleh guru-guru di Masjidil Haram, beliau menyambung pengajian di Iraq seterusnya di Universiti al Azhar sehingga mendapat MA (Sarjana). Beliau sangat menyintai dunia pendidikan, sehingga jasanya ada di belakang penubuhan YPTIK, Maahad Tahfiz Pulai Condong, KIAS, Kolej An Nur, Maahad Darul Quran Machang dan pelbagai institusi pendidikan Islam di Kelantan bahkan negara ini. Akses beliau dengan Universiti al Azhar begitu sekali baik, ini adalah kerana latarbelakang pendidikan dan jaringan yang dimiliki oleh beliau ketika aktif di dalam gerakan belia Islam antarabangsa. Tidak pelik jika apabila PAS memenangi Kelantan pada tahun 1990, beliau diamanahkan sebagai exco Pendidikan negeri Kelantan. Beliau menjadi ADUN Banggol Judah dan pernah bertanding di Parlimen Pasir Puteh pada tahun 1978.

Sang Murabbi ini mengabadikan hidupnya untuk mencetak kader dakwah, memesrai anak muda supaya menjadi amilin yang menyambung risalah perjuangan Islam. Dirinya adalah mercu keteladanan kepada kita kerana kata-katanya dibenarkan dengan tindakan dan amalan, beliau bergulat dengan perjuangan secara serius semenjak tahun 70an lagi. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai exco WAMY serta ahli majlis Syura ABIM saat ABIM adalah gerakan simbiosis kepada PAS dalam dekad 70an. Almarhum juga adalah tokoh ulama PAS Pusat yang juga begitu akrab dengan tokoh-tokoh besar Ikhwanul Muslimin. Di saat kebangkitan Islam menyelimuti dunia Islam, bahkan negara ini juga tidak terkecuali, Ustaz Yahya Othman bergerak ke seluruh negara untuk membudayakan tarbiah kepada pemuda dan belia Islam. Saat itu, kesan daripada percikan kebangkitan Islam, negara dahagakan sentuhan ulama-ulama haraki dan beliau sebaris namanya dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Wan Mustapha Rusdi, Ustaz Awang Nasruddin Abu Bakar dan nama-nama besar lain penggerak tarbawi. Tidak menjadi rahsia bahawa kesan daripada tarbiah beliau kepada ahli PAS terutama pemuda PAS di penghujung dekad 1970an dan awal 80an, akhirnya berlaku transformasi kepimpinan pada tahun 1982 yang dikenali sebagai kepimpinan ulama.

Almarhum bukan sahaja menjadi tenaga pengisi penting untuk program pelajar dan pemuda dalam negara tetapi juga sentiasa diundang ke luar negara termasuk di United kingdom dan US. Perawakan lembut tetapi tegas, hujjahnya sentiasa disepuh ayat-ayat Allah dan hadith Nabi SAW. Dasawarsa 70an dan 80an adalah zaman subur merendang dan meranum hijau dengan usrah, tamrin, daurah, jaulah, ijtimak dan sebagainya, semua program ini begitu sinonim dengan beliau. Bahkan, PAS berjaya merubah kepimpinan pada tahun 1982 (transformasi kepimpinan) adalah kerana suburnya gerakan tarbiah dan pembinaan. Kepimpinan ulama yang menjadi teras kepimpinan PAS berjaya direalisasikan akibat hidupnya gerakan tarbiah yang berterusan, juga akibat generasi peserta kebangkitan Islam yang begitu membuncah ghairah untuk melihat PAS menjadi gerakan Islam yang bergerak di atas kefahaman ahli bukan semangat yang meledak-ledak kosong. Almarhum juga di belakang penubuhan ILHAM dan juga menggerakkannya."
sumber penulisan : Ustaz Riduan Mohd Nor

Benarlah sabda hadis Nabi Muhammad s.a.w :

Daripada Abdullah bin Amr bin 'ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain."
(hadis riwayat muslim)

.

'Allah tidak menghilangkan ilmu itu dari dada-dada manusia tetapi dengan mematikan para ulama'

-Tuan Guru Nik Aziz sendiri yang mengimamkan solat jenazah Ustaz Yahya Othman, sahabat seperjuangan beliau-



Tiada apa yang menjadi milik kita di dunia ini, setiap yang hidup pasti akan mati. Namun, ruh perjuangan sang Murabbi ini tetap akan berbekas di hati-hati ahli gerakan Islam bukan sahaja di bumi Malaysia bahkan ahli-ahli gerakan Islam di Timur Tengah. Walaupun beliau sudah tiada lagi, ilmu-ilmu serta kata-kata perjuangan beliau akan terus diingati dan disemati dalam setiap jiwa ahli gerakan dalam meneruskan agenda perjuangan Islam di Malaysia.

Di saat-saat akhir hayat beliau, masih beliau menitipkan dan meninggalkan mutiara berharga buat umat...


"Kematiannya sangat menginsafkan diri ini yang tandus dengan ruh-ruh tarbiyah, ingin aku menjadi salah seorang dari mata rantai perjuangan nabi yang mana  sang murabbi ini juga mewarisinya".

"Ya Allah, tetapkanlah diriku dalam perjuangan Islam dan bersama orang- orang yang soleh serta satukanlah hati-hati kami umat Islam"

No comments:

Post a Comment